Sabtu, 27 Jun 2009

Sinar Mentari

CERPEN: Sinar Mentari

“TENANG BERSENDIRI
Jangan sentuh,
Jangan usik,
Jangan tanya,
Jangan sapa,
Jangan tegur,
Jangan..Jangan..Jangan,
Biarkan ia tenang bersendirian,
Sendiri menikmati kebahagiaan dan ketenangan yang ada.”


Telefon bimbitku berbunyi lagi. Satu khidmat pesanan ringkas lagi ku terima daripada pemilik nombor yang sama.
“Saya harap awak faham dengan keadaan saya. Semuanya telah saya luahkan dalam laman web saya http://zura.blogspot.com. Saya harap awak memahami keadaan saya.”
Aku terkedu menerima jawapan daripadanya. Betapa keras hatinya untuk didekati. Tiada satu peluang untuk diriku untuk mendekatinya. Aku merasa bagaikan pisau tajam yang menghiris hatiku. Permintaan untuk menjadi teman dan ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi ditolak mentah-mentah oleh dirinya. Bencikah dia kepada kaumku? Adilkah kerana kisah silamnya menyebabkan aku terhukum begini.
“Saya bukan tidak mahu menerima cinta awak. Tetapi hati saya masih tidak boleh menerima sesiapa. Biarlah saya bersendiri. Jangan mencipta harapan yang jelas membawa kesuraman. Mana yang awak mahukan antara saya menerima awak ketika hati saya masih mengenangkan kisah silam atau saya menerima awak ketika hati saya sudah sedia untuk menerima awak. Bolehkah awak menunggu jawapan saya Jun nanti. Keputusan yang muktamad akan saya berikan pada Jun nanti. Maaf kerana tidak dapat memenuhi kehendak awak.”
Kata-katanya membuatkan aku akur , benar juga kata-katanya. Kisah silamnya sangat mempengaruhi emosinya. Ini bermakna aku tidak boleh memaksa dirinya.

Tembok tebal

Hari demi hari, ingatan ini masih tidak dapat melupakan satu nama yang bernama Zura Harun. Aku terkenangkan perwatakannya yang sangat menarik yang telah menambat hatiku. Cantik, lemah lembut, sopan, prihatin, gaya keibuan jelas terpancar pada dirinya. Namun disebabakan terdapat tembok tebal yang memisahkan dirinya kepada lelaki membuatkan aku geram dan tidak puas hati padanya.
Melalui perbualanku dengan kawan karibnya, hati gadis ini telah lama terguris dengan kisah silamnya. Dia marah dan geram dengan sikap lelaki yang pernah menjadi kekasihnya pada satu ketika dulu. Dirinya tidak dihargai. Dia benci untuk memberikan hatinya kepada mana-mana lelaki lagi kesan daripada peristiwa silamnya. Hatinya masih sakit. Luka di hatinya masih berdarah. Dia semakin berhati-hati malah sangat berpendirian. Katanya lelaki semuanya sama. Dia tidak mahu beri muka lagi kepada kaumku. Dia tidak mahu mempercayai lelaki lagi. Baginya cukuplah semua itu memberi pengajaran pada dirinya dan harapannya agar pisang tidak berbuah dua kali.

Pertemuan dan peluang

Pertemuan pertama antara aku dan dia berlaku setahun lalu di mana kami menghadiri satu sesi temuduga pengambilan pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) j-QAF di Institut Perguruan Sultan Mizan, Terengganu. Pertama kali aku melihatnya, terdetik di hatiku sudah berpunyakan si empunya diri. Namun pertanyaanku terjawab apabila aku melihat seorang pemuda menemaninya semasa menanti sesi temuduga bermula. Pada benak fikiranku, mungkin suaminya atau tunangnya. Peluangku jelas terbantut di situ.
Menjelang Januari 2009, aku berjaya melapor diri sebagai seorang pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) j-QAF di Institut Perguruan Sultan Mizan. Aku memerhati sekeliling mencari-cari satu wajah yang pernah terlintas pada fikiranku. Jelas tidak kelihatan wajah tersebut. Tiba-tiba pandanganku terhenti pada satu sudut. Satu wajah yang ku lihat kemas memakai pakaian seragam Minggu Interaksi. Rupanya dia turut berjaya sepertiku.
Sepanjang sesi minggu interaksi, aku cuba mengintai-mengintai butiran dirinya. Semasa sesi memperkenalkan dirinya, telingaku tegak menanti kedudukan status dirinya. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, tidak ku sangka dirinya masih bujang dan belum bertunang. Yeah, satu peluang untukku!

Hambar

Zura , satu nama yang sentiasa menghantui fikiranku. Mengapakah khidmat pesanan ringkasku tidak berbalas. Panggilanku dibalas dengan sinis dan membuatkan aku merasa tercabar. Sapaanku di kuliah dibalas acuh tidak acuh saja. Apalah salahku. Aku ingin mendekatimu Zura.
Zura, berilah aku peluang. Hatiku bagaikan menjerit meronta meminta diberi peluang. Aku pasti hatiku terseksa.
Saat sering berganti, perasaan rinduku padanya makin meninggi. Dadaku bagai ditimpa gunung besar. Aku cuba melawan perasaan tersebut. Namun aku tidak mampu menahannya. Sebulan tiada kuliah di institut membuatkan aku bertambah merindui wajahnya.
Aku membelek-belek telefon bimbitku. Aku melihat satu demi satu nombor telefon sehinggalah mataku terhenti pada satu nama, Zura Harun. Aku merenung nombornya. Fikiranku menerawang. Tiba-tiba wajahnya menjelma dengan senyumannya yang manis sambil menyambut tanganku dengan mesra. Pap! Aku tersentak dari lamunanku apabila telefon bimbitku terlepas dari genggamanku. Aduh, rosak telefon bimbitku! Aku bangun dari sofa dan mengambil telefon bimbitku semula. Ku belek semula telefon bimbitku. Jariku terus menekan butang panggilan. Aku sanggup menghadapi risiko jika aku dimarahi. Panggilanku dijawab dengan satu suara yang sangat ku rindui. Bahagianya saat aku mendengar suaranya, sungguh menikam kalbuku.

“ Saya sihat. Bagaimana kehidupan awak di sana? Maaflah, saya hampir-hampir tidak mengenali kerana nombor awak telah lama saya buang daripada simpanan saya. Maafkan saya.”
Aku terkedu dengan kata-katanya. Sampai begitu sekalikah dia mahu melarikan diri daripadaku.
Semenjak panggilan tersebut, rinduku padanya sedikit terubat walaupun aku tahu dia hanya sudi menerima aku sebagai kawan sekuliah dan tidak lebih daripada itu. Namun hatiku masih mengharap.

Pintu hati terbuka

Aku tidak boleh menipu diriku. Apa yang aku lakukan semuanya tidak kena padaku. Kerjaku terbengkalai. Emosiku terganggu kadangkala terbawa-bawa di dalam kelas. Adakah aku sama seperti orang yang mabuk bercinta di mana mandinya tidak basah, makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Oh, tidak! Adakah aku semakin mencintainya? Kalau aku mencintainya adakah dia terbuka hati untuk menerimaku. Ah, peluang itu sangat samar.
Aku terkenang akan laman web yang dia bina satu ketika dulu. Tanganku pantas memcapai komputer ribaku. Aku membuka laman web http://zura.blogspot.com. Aku terbaca pada satu nukilan terbaru dalam laman tersebut.
“ A & Z = bahaya, A to Z = bagus. Jadi kamu mahu pilih yang mana satu ?”
Aku tertanya-tanya maksud daripada kata-kata dalam nukilannya.Aku terus mendail nombor telefon Zura dan terus bertanyakan hal ini.
“ A dan Z adalah diri kita. A adalah awak dan Z adalah saya. A & Z adalah bahaya bermaksud saya tidak mengenali awak dan terus membuat keputusan untuk menerima cinta awak. Dan A to Z adalah bagus bermaksud antara huruf A hingga Z terdapat pelbagai huruf yang perlu dikenali. Jadi saya memikirkan ianya bagus kerana untuk menyatukan saya dan awak, kita perlu mengenali antara satu sama lain.” Terang Zura dengan jelas.
“ Jadi awak boleh terima saya?” tanyaku separuh percaya.

“ Insyallah, saya cuba. Saya sudi menerima awak.” katanya.
Aku bersyukur hatinya telah terbuka untukku. Tinta-tinta harapan telah tertunai. Ku lihat kalendar di dinding bilikku. Oh, rupanya sekarang sudah bulan Jun. Ini bermakna tempoh untuk dirinya bersendiri telah tamat. Sekali lagi aku mengucapkan syukur kepada Ilahi atas pemberian ini. Aku menuju segera berwuduk dan mendirikan solat sunat dan sujud syukur atas anugerah ini.
Kini cinta telah pun berputik. Keizinan daripada ibu bapanya telah ku perolehi. Ibu bapanya merestui hubungan kami. Tuhan permudahkanlah jodoh kami. Kata Zura, akulah mentari yang menyinari hidupnya yang hampir kelam. Tiada kata yang mampu ku ungkapkan saat ini. Ku rasakan dunia yang indah ini kami berdua sahaja pemiliknya. Hanya ucapan terima kasih yang tidak dapat ku nilaikan untuk dirinya yang ikhlas memberi hatinya untukku. Moga dialah yang akan menjadi suri hidupku. Terima kasih Zura atas cintamu Sayang. Semoga jodoh kita berpanjangan sehingga mencapai matlamat kita dan sentiasa diberkati Ilahi. Zura, akulah mentari yang menyinari hidupmu.

TAMAT

Tiada ulasan:

Arkib Blog